Sunday, September 19, 2010

SEKOLAH MINGGU DAN SAYA

Kehidupan pelayanan saya bermula dengan pelayanan anak-anak sekolah minggu diusia 15 tahun. Pada masa itu saya juga baru mengenali siapa Yesus dalam hidup peribadiku. Bible yang kutemui cuma beberapa bab perjanjian lama yang menggerakkan saya mengenali siapa Tuhan itu adanya dalam kehidupan peribadi saya. Walaupun saya lahir dalam keluarga kristian tetapi saya secara peribadi jarang ke gereja apatah lagi semasa anak sekolah minggu dulu boleh dikatakan boleh dikira berapa kali sahaja. Ibubapa saya tidak pernah mengajar saya tentang siapa itu tuhan malah mereka hidup dengan ke duniawian. Kehidupan kami dipenuhi dengan kerja-kerja diladang dan sawah pada siang hari dan ibubapa kami pula akan bersukaria dipesta pora pada malam hari sekiranya ada undangan dan sekiranya tiada seperti biasa berehat untuk menunggu pada keesokkan harinya.

Pembacaan saya pada bible yang saya temui itu sangat menarik sejarahnya seolah-olah saya dapat menyelami kehidupan pada masa itu. Maka keghairahan saya untuk kegereja semakin terserlah dengan mengunjungi gereja tiap-tiap minggu. Lantas satu masa saya memandang dimana anak-anak bergayut kesana kemari kerana kadang kala mereka tidak ada guru yang mengajar mereka. Lantas seorang ibu menyapa saya, 'Kamu boleh tolong tak mengajar anak-anak sekolah minggu ini?' pertanyaan dan permohonannya langsung membisukan saya. Saya membuka mulut sambil terpinga-pinga, 'emm.. boleh tapi bagaimana caranya, saya tidak pernah berbuat demikian; kataku'. Ibu itu menjawab 'Tak apa kamu boleh belajar dan akhirnya kamu akan pandai; kata ibu itu'.

Pada minggu berikutnya saya mula mengumpul lagu-lagu sekolah minggu yang saya tahu dalam sebuah buku kecil dan mendapatkan teks cerita yang saya dapatkannya melalui bible yang saya jumpa. Walaupun pengetahuan cara mengajar itu setakat menyanyi, mendengarkan cerita dan memberikan wang persembahan untuk anak tetapi saya secara spontan saya terfikirkan kalau mereka siap awal mereka mesti bising dan mengganggu jemaat dewasa dengan masuk ke dalam gedung gereja. Maka saya mengadakan acara games dipadang bersama anak-anak dan ianya sangat menyeronokkan anak-anak. Begitulah yang saya lakukan tiap-tiap minggu, peruntukkan alat peraga saya sendiri yang sediakan walaupun dengan kekurangan yang ada tetapi saya sedaya upaya menggunakan kreativiti ku sendiri.

Maka suatu masa Gereja Pusat menganjurkan Hari Sekolah Minggu bagi Parokhi maka semua kampung dibawah Parokhi ini terlibat. Gereja bagi kampung kami juga menghantar beberapa wakil guru sekolah minggu termasuk saya dan anak-anak sekolah minggu juga dibawah sekali. kami selama 3 hari bersama anak-anak menginap dirumah yang disediakan. Kursus yang diadakan itu merangkumi cara-cara mengajar sekolah minggu, kreativiti, menyanyi lagu baru, konsert anak-anak dan sebagainya. Dari sini saya dan guru-guru sekolah minggu yang lain dapat mendalami tatacara pengajaran sekolah minggu yang lebih baik...

Bertahun-tahun berlalu akhirnya saya dipanggil tuhan untuk menyambung pengajian ku ke peringkat diploma di semenanjung malaysia. Saya berjauhan dari anak-anak sekolah minggu yang aku sayangi. Saya sangat merindui mereka. Semasa saya berada dikl banyak cabaran dan dugaan yang aku lalui namun kerinduan pada anak-anak sekolah minggu terubat buat seketika bila saya berpeluang mengajar anak-anak orang asli dibukit seruk, pahang. Beberapa kali saya dan kawan2 saya mengunjungi mereka dan mereka menantikan kehadiran kami disana berkongsi cerita tentang Tuhan Yesus. Namun akhirnya cerita tentang mereka tinggal menjadi kenangan bila mana pelayanan disana terpaksa dihentikan memandangkan kesukaran yang tidak dapat dielakkan.

Tempat saya beribadah semasa dikl ini adalah Gereja Basel KL, walaupun saya dari Gereja PCS namun saya percaya dimana saya berada Tuhan tetap memakai saya untuk kemuliaan Namanya. PanggilanNya Ya dan Amen. Jemaat gereja ini pada tahun 2001 majoritinya adalah pelajar IPT dan Pekerja. Hanya pada tahun 2004 barulah tampak kelihatan jemaat berkeluarga, anak-anak kecil cuma 3 orang untuk 1 keluarga. Walaupun demikian, saya terpanggil untuk mengajari mereka walaupun dalam kesempitan yang tidak ada ruang untuk anak tetapi menggunakan ruang pejabat yang sangat sempit dan kami memulakan ibadah sekolah minggu. Pengajaran rohani harus diteruskan tanpa mengira kuantiti berapa ramai anak lebih-lebih lagi dikawasan bandar yang banyak cabaran dan dugaan ini. Mereka harus ditaburi dengan pengajaran kerohanian agar anak-anak ini membesar bersama Tuhan Yesus.

Pada Tahun 2006, Pertambahan jumlah keluarga kepada 3 keluarga dengan anak-anak seramai 6 orang dan kami juga terpaksa berpindah ke gereja yang baru dan anak-anak ini akhirnya mempunyai tempat ibadahnya sendiri yang luas dan selesa untuk mereka bereakreasi selesai ibadah mereka tanpa mengganggu ibadah dewasa.

Tahun 2007 dan 2008 pertambahan jemaat yang berkeluarga juga bertambah lebih kurang 10 keluarga. Memandangkan tempat tinggal mereka sangat jauh kami merencana untuk membuka 1 buah gereja yang berdekatan dengan kawasan mereka.

Dan akhirnya pada tahun 2009, 1 gereja dibuka di Sri Muda Shah Alam dibuka khas untuk jemaat yang tinggal dikawasan itu. Memandangkan jemaat berkeluarga yang ramai ditempat ini iaitu lebih kurang 30 keluarga, guru-guru sekolah minggu ditambah dan berganti-ganti setiap slot penceritaan selesai.

Tuhan tidak jauh untuk kita gapai dan juga mencarinya pun bukanlah susah. Tetapi lagi sukar jika kita tidak pernah mengenali satu apapun tentang dia. Demikian juga anak kecil andai tidak dididik dari kecil, masa remajanya banyak pengaruh, banyak godaan dan cabaran dalam hidupnya.. Marilah kita merenungkan tentangnya dan memandang gereja si kecil itu...

No comments:

Post a Comment